Renungi malam ini rasa kesangsian
Ku kini berada di alam yang sunyi
Hanya bertemankan bintang dan bulan
Di malam kelam
Hembusan angin bayu pastikan berlalu
Seiring dosa lalu yang membelengguku
Moga semalam jadi pedoman Dan pengajaran
Langkah kaki kananku
Menyusuri rumah suci
Bermula episod baru Dalam ketulusan hati
Bila hati menghadap tuhan
Baru kusedar ada kelemahan
Terasa kerdil berbanding Yang Esa
Terharu, terfikir betapa agungnya Tuhan
Tuhanku, aku tidak layak masuk syurga-Mu
Namun tak berupaya menghadapi api neraka-Mu
Terima taubatku dan ampunkan dosa-dosaku
Inginku ubah cara hidupku yang lalu
Menjadi hamba yang diredhai selalu
Tiada palsu wahai tuhanku Allah yang satu
Kuakhiri sujud dengan doa
Semoga dikabulkan hajat
Dijauhkan duka lara
Kuharap terimalah taubat
PENJANA JATIDIRI MU’MIN
“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah solat tahajjud pada waktu malam, selain daripada sedikit masa (yang tidak dapat tidak untuk berehat) iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya: dan bacalah al-Quran dengan tartiil”
(Surah al-Muzammil ayat 1-4)
MUKADDIMAH
Fizikal, intelek, emosi, dan rohani merupakan aspek utama dalam diri setiap insan.
Fizikal dibina dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Akal pula dibina dengan menuntut ilmu. Manakala emosi pula dibina dengan mendidik dan membentuk hati supaya tergolong dalam kriteria mahmudah dan dijauhkan dari sifat mazmumah. Rohani pula dapat dibina dengan menperbanyakkan ibadah ruhiyyah ikhlas semata-mata kerana Allah.
Oleh itu qiyamullail merupakan salah cara membina rohani yang mantap dan seterusnya menjadi penjana jatidiri setiap mu’min. Usaha ini tentunya memerlukan azam, kekuatan, ketabahan, dan pengorbanan kerana nafsu, iblis dan tenteranya sentiasa berusaha memenuhi ruang dan peluang yang ada.
PENGERTIAN
Qiyamullail ialah bangun pada waktu malam (menghidupkan malam) dengan beribadat kepada Allah seperti bersolat, membaca al-Quran dan berzikir semata-mata mengharap keredhaan Allah.
SEJARAH QIAMULLAIL
Pada awalnya qiamullail wajib bagi rasulullah dan para sahabat. (Lihat surah al-Muzammil 1-10)
Namun setelah setahun disyari’atkan amalan itu menjadi sunad muakkad bagi setiap umat Islam .Namun ia tetap wajib ke atas Nabi Muhammad S.A.W. (Lihat surah al-Muzammil 20)
SEBAB NUZUL AYAT
Diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim daripada Ibrahim al- Nakhi di mana Nabi sedang berselimut dengan lihaf maka Jibril datang menemui baginda dan menyampaikan wahyu.
HIKMAH QIYAMULLAIL
· Meningkatkan keimanan individu
· Meninggikan darjat disisi Allah
· Dapat beribadah dengan lebih khusyuk
· Mendidik jiwa bersyukur dengan nikmat kesihatan dan nikmat waktu malam yang tenang
· Melatih diri menjadi insan bertakwa
· Melatih diri menperbanyakkan amalan sunat
· Mendidik jiwa melawan nafsu dan syaitan
· Menyedari bahawa manusia dicipta untuk beribadah
· Melatih diri mengharap keredhaan Allah
· Memberi ketenangan jiwa (emosi)
· Memberi kesihatan (fizikal)
· Menajamkan akal fikiran
· Meneguhkan kekuatan rohani
· Menambahkan rasa kekerdilan di sisi Allah dan bertawakkal kepadaNya.
· Melatih diri bersikap khauf(takut) dan roja’(berharap) kepada Allah .
· Dan lain –lain lagi hikmah ganjaran Allah untuk hamba-hamba ikhlas dan istiqamah
KELEBIHAN QIAMULLAIL
· Dimakbulkan doanya dan masin perkataan.
· Tenang hati dan fikirannya
· Dimurahkan rezeki
· Dihormati masyarakat
· Dilindungi Allah daripada khianat manusia.
· Jika dia pemimpin ,dia akan disegani
· Dan banyak lagi (Perlu difahami bahawa segala kelebihan adalah nikmat Allah bergantung kepada rahmat Allah . Allah berhak mengurniakan apa sahaja yang dikehendakiNya)
WAKTU-WAKTU QIYAMULLAIL
Waktu untuk solat malam ialah selepas isya’ sehingga sebelum masuk subuh. Bagi solat tahajjud, kita digalakkan untuk tidur dahulu walaupun seketika.
Waktu yang paling utama ialah sepertiga malam terakhir.
“Puasa yang lebih disukai oleh Allah ialah puasa Nabi Daud dan solat yang disukai oleh Allah ialah solat Nabi Daud. Baginda tidur pertengahan malam, bangun sepertiganya (solat) lalu tidur seperenamnya.Baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari”
H.R. Jamaah selain At-Tarmizi
sumber :
http://dakwah.info/mutiarakisah/?p=23#more-23